Blog ini adalah luahan hati, perasaan, rasa dan idea ketika berada di UK, bersama isteri dan anak-anak. Kesusahan biasanya mengajar kita lebih matang dan berdikari.
Segala pengalaman yang diceritakan adalah pengalaman sebenar yang mana mungkin tidak semuanya sama bagi setiap manusia. Hayatilah sebagai panduan dan pedoman.
online cashback

Rabu, 12 Disember 2007

Perkara-perkara yang perlu diambilkira sekiranya ingin cuti belajar di UK/Eropah


Beberapa perkara yang perlu diambilkira apabila ingin melanjutkan pelajaran di UK. Perkara-perkara ini adalah tersirat dan jarang diceritakan sehinggalah anda sendiri mengalaminya.



1. Jet lag

Perbezaan waktu antara Malaysia (GMT+8) dan UK (GMT) adalah 8 jam. Maknanya, waktu di Malaysia lebih cepat 8 jam mendahului waktu di UK, yang akan menyebabkan ‘jet lag’. Ini adalah fenomena individu yang akan merasai dirinya masih berada di Malaysia dengan waktu tidur dan makan akan mengikut waktu Malaysia. Perumpamaannya, jasad berada di UK tetapi rohani masih di Malaysia. Fenomena ini akan mengambil masa 2 hingga 5 hari untuk dibetulkan bergantung pada individu. Contohnya, kita akan merasa mengantuk yang amat sangat apabila jam di UK menunjukkan pukul 6 petang (GMT), bersamaan dengan pukul 2 pagi waktu Malaysia (GMT+8) kerana biasanya waktu ini kita dah tidur di Malaysia. Sekiranya kita tidur pukul 6 petang waktu UK, kita akan terjaga pukul 11 malam nanti (bersamaan 7 pagi waktu Malaysia). Begitu juga dengan perut, kita akan merasai lapar apabila tiba waktu makan tengahari di Malaysia sedangkan waktu itu baru 4 pagi di UK.

  1. Cuaca

Bagi yang pertama kali berada di Eropah, tidak dinafikan kita akan merasa kesejukkan yang agak melampau apabila berada di luar bangunan. Kebiasaannya, suhu di luar di antara 9°C hingga -6°C, memang berbeza dengan Malaysia, yang kebiasaannya 32°C hingga 35°C.

  1. Tandas

Satu perkara yang amat ketara perbezaannya adalah tiadanya air di dalam tandas. Bagi seorang muslim, biasanya perkara begini amat tidak disukai. Ada beberapa penyelesaian di sini:

a) Membasahkan tisu dan menggunakannya untuk membasuh. Rasanya sesuai untuk air kecil.

b) Menyediakan bekas kecil atau botol air apabila ingin meninggalkan rumah. Penyelesaian ini rasanya sesuai untuk membuang air kecil dan juga air besar sekiranya terdesak.

c) Yang paling praktikal adalah membuang air terutamanya air besar di rumah sendiri sahaja. Tetapi mungkin akan menjadi masalah jika tetiba perut kita memulas. Doa kepada Allah agar dijauhkan perkara begitu.

  1. Air :

Bagi yang pertama kali datang ke UK, kita akan mengakui akan kelainan rasa air minuman terutamanya air kosong kerana kandungan kalsium yang tinggi. Rasanya agak berbeza dengan air kosong di Malaysia, yang sedap dan tiada rasa. Biasanya lebih bagus kalau kita minum air yang dicampur jus, serbuk kopi dan sebagainya. Terdapat dua paip air, satu yang terlampau sejuk, dan satu lagi yang terlampau panas, sehingga berasap-asap. Bayangkan ketika ingin menggosok gigi atau mengambil air sembahyang, air yang mana satu menjadi pilihan. Agak susah jugak untuk memilih tetapi biasanya kita akan menggunakan shower di mana airnya boleh dikawal paras kepanasannya. Nasib baik ada shower tu, jika tidak alamatnya boleh beku atau melecur mulut. Air yang agak sejuk ni boleh diminum terus (kalau terdesak dan jika ditulis ‘drinking water’ di tandas) dan boleh digunakan untuk memasak. Air yang panas tidak sesuai kerana kita tidak tahu dah berapa lama pemanas tu sudah digunakan.

  1. Pakaian

Jika di Malaysia, sehelai baju atau seluar biasanya adalah untuk sehari pakai. Berbeza dengan UK, pakaian anda boleh dipakai sehinggalah ianya kotor, bukan disebabkan peluh atau bau badan, tetapi kotor disebabkan terkena makanan atau comot. Biasanya sehingga 2-3 hari kita boleh memakai pakaian yang sama. Terimalah hakikat ini. Disebabkan cuaca yang sejuk, peluh pun tidak berbau, dan sebenarnya agak susah hendak keluar.

  1. Makanan

Agak susah sebenarnya nak makan di café atau kantin universiti atau mana-mana kedai makan yang menyediakan masakan halal. Walaubagaimanapun, sekiranya terdesak sangat, kekadang kita boleh mencari sandwich tuna atau vegetarian. Di supermarket sekalipun, jangan harap kita akan menjumpai symbol HALAL pada packet makanan. Di sini, kita hanya bergantung kepada symbol V, iaitu sesuai untuk vegetarian. Jangan fikir lebih-lebih, jika tidak kebulur la kita di sini.

  1. Memasak

Satu perubahan besar yang perlu diambil kira apabila ingin melanjutkan pelajaran di UK adalah kemahiran memasak. Memang tidak dinafikan, semasa kursus SLAB, tidak dinyatakan untuk seseorang pandai memasak sebagai keperluan di perantauan. Bayangkan, untuk sebungkus nasi pun dah cecah £2.50 - £3.50 pound. Kali begini setiap hari, alamatnya pokai la poket. Jadi, lebih baik memasak sendiri. Dinasihatkan agar sesiapa yang tidak pandai memasak (including me), agar belajar memasak di Malaysia, sekurang-kurangnya masak nasi, telur pedas, kari ayam dan sebagainya (sedapnya). Kalau tak, alamatnya makan roti dan telur selalu (sedih….).

  1. Perubahan waktu solat

Jika di Malaysia, kita akan solat Zohor lebih kurang pukul 1 tengahari, tetapi di UK (masa dekat winter ni), pukul 1 tu dah masuk waktu Asar. Biasanya Zohor lebih kurang pukul 11.50 pagi, Asar dalam 1.30 tengahari, Maghrib 3.50 petang, Isyak 5.15 petang. Isyak adalah yang paling lama kerana ketika ini malam agak panjang, iaitu sehingga lebih kurang pukul 6.15pagi barulah Subuh. Perkara ini perlu diambil perhatian betul-betul oleh sesiapa yang bercadang untuk cuti belajar di UK/Eropah. Jika tidak, asyik terlepas je waktu solatnya.

  1. Solat Jumaat

Biasanya di Malaysia, solat Jumaat dilakukan di awal waktu, iaitu selepas azan dan khutbah. Tetapi berbeza dengan di UK, solat Jumaat dilakukan di akhir waktu, iaitu dalam pukul 1. Dalam 5-10 minit sebelum Asar, barulah khatib habis membacakan khutbah dan solat Jumaat. Selepas sahaja habis solat Jumaat, tunggu beberapa minit, solat Asar pula dilakukan secara berjemaah. Agak pelik untuk yang pertama kali datang, tetapi begitulah hakikatnya hidup di UK. Jika dilakukan solat Jumaat di awal waktu, iaitu dalam pukul 11, kemungkinan besar, ramai akan yang terlepas disebabkan kerja atau kelas. Pukul 1 juga sesuai kerana ketika inilah waktu rehat untuk pejabat.

  1. Jalan kaki

Jika di Malaysia, kita jarang-jarang berjalan kaki ke tempat kerja. Dengan cuacanya yang sejuk, begnya yang berat, perutnya yang lapar, hidungnya yang berair, jaraknya yang agak jauh, perkara-perkara ini akan menjadi rutin harian sehinggalah kita ada kenderaan sendiri di UK. Dinasihatkan kepada semua, praktislah berjalan kaki dan sedikit exercises di rumah (Malaysia), agar tidak merasa susah ketika berada di UK nanti. Kenalah cergas selalu. Tetapi yang bagusnya, walaupun berjalan jauh, tiada setitik pun peluh di badan. Baju pun tak akan berbau, dan boleh digunakan sehingga 2-3 hari. Penat tu memang penat. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, insyaAllah. Nak senang, belajar je kat Malaysia di mana kita memang dah ada kenderaan sendiri dan segala kemudahan sudah disediakan. Jauh berjalan, luas permandangan dan pengalaman J

  1. Pemanduan di UK

Satu benda yang perlu di’highlight’kan di sini, jalan-jalan di UK bukannya besar dan lebar macam di Malaysia, kecuali di lebuhraya yang biasanya 3 lanes. Jalan-jalan di bandar atau kampung biasanya akan muat-muat dua kereta. Sudahlah jalan kecil, ada pulak kenderaan diletakkan di bahu kiri kanan jalan, terpaksalah memberi laluan kepada pemandu lain di hadapan. Pejalan kaki di sini mempunyai lessen besar, di mana keutamaan diberikan untuk melintas jalan (di tempat melintas sahaja). Semua kenderaan kena berhenti untuk memberi peluang pejalan kaki melintas. Walaupun kedudukan pemandu sama di sebelah kanan, tetapi biasakan diri sebelum datang ke UK dengan kenderaan Eropah. Butang signalnya di mana, butang lampu, wiper dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa penumpang lain juga perlu memakai tali pinggang keledar, termasuk anak-anak kecil, yang perlu menggunakan car seat dan sebagainya. Had laju di jalan-jalan bandar dan kampung biasanya hanya 30 batu/jam, lebih kurang 50km/jam. Kalau di Malaysia, kita boleh je memecut sesuka hati, tetapi di UK, kamera polis merata-rata. Yang bagusnya, di tempat ada kamera, ada diletakkan papan tanda mengatakan ada kamera di hadapan. Tidak main la speed trap menggunakan kamera sembunyi-sembunyi ni. Cubalah buat macam di Malaysia, tunggu je surat saman di rumah. Lampu isyarat di sini juga agak berbeza sedikit di mana selepas MERAH, akan ada juga lampu KUNING menandakan kita boleh berjaga-jaga untuk jalan. Macam praktikal, untuk membolehkan kita bersedia untuk bergerak. Tetapi jika di simpang empat yang berlampu isyarat, jangan terperanjat sekiranya kita ingin ke kanan, kereta daripada hadapan juga adalah berlampu hijau ketika itu, dan kita perlu memberi laluan kepada mereka daripada laluan hadapan dahulu sebelum membelok. Jika di Malaysia, jika kita ingin membelok ke kanan, kereta daripada simpang hadapan akan berhenti. Walaupun agak pelik di sini, tetapi kadar kemalangannya agak kurang. Mengapa?

Begitulah serba sedikit perkara-perkara yang perlu diambilkira apabila anda ingin melanjutkan pelajaran di UK/Eropah. Sebenarnya ada bermacam lagi pengalaman lain yang tidak sempat ditulis ketika ini. InsyaAllah di lain masa saya akan menulis lagi. Setiap pengalaman boleh dikongi bersama walaupun saya berada di UK baru 3 minggu. Ada lagi 3 tahun yang perlu dilalui. Doakan kejayan saya dan rakan-rakan Malaysia lain di sini. Segala komen dan maklumat lain daripada pembaca, diucapkan jutaan terima kasih.

Wassalam.

Hafis

Loughborough, UK

5 ulasan:

  1. abang..kelaka baca first time ever Blog abang...tulis gak abang blog ye..mcm karangan BM pun ada.hehehe..kelaka baca yang part abang tak pandai masak..sedih baca part abang kene walking jauh2..n mcm taknak pergi sana bile baca pasal isu2 wash room ni..anyway...bagus abang wat camni..hani taktau pun rupenye abang experience bende2 tuh kat sana..sbb abang tak habaq pun ..:)

    BalasPadam
  2. kena tambah...di UK amat bahagia..takde nyamuk, semut dan segala serangga2 yang mengacau seperti di Malaysia, terutama ketika musim sejuk..so selamatlah sikit dari gula dikerumun semut, nak beli ubat nyamuk..jimatlah duit..hehe

    BalasPadam
  3. Betul tu Sero... kat sini serangga memang takde... Memang jimat duit takyah cari ubat nyamuk. Tak pernah nampak lagi seekor semut pun setakat ini kat sini. Makanan pun boleh tahan lama lagi kalau nak bandingkan dengan Malaysia... Thanks atas info.

    BalasPadam
  4. eemmm...bla baca ase cm nk terima jer twrn study kt sana...tpi otak ni asyik pk family jer...kt sana msti kita keseorgn...dah ler tmpt org...msih pk sal twrn yg diterima....

    BalasPadam
  5. Nice sharing bro hafis

    BalasPadam

Anda boleh menggunakan 'smiley' di bawah di dalam komen anda (sila taip simbol 'smiley' secara manual..If anda klik tak kan ada apa2 kesan :P )

Blog Widget by LinkWithin